~fwENz~

~bout mE~

Click to view my Personality Profile page

Thursday, October 15, 2009

NEGARA DALAM ISLAM

Islam adalah agama yang mempunyai beberapa ciri khusus, iaitu agama yang bersifat universal, sebagai jalan hidup, syariatnya menyeluruh merangkumi persoalan dunia dan akhirat, individu mahupun masyarakat umum. Untuk membolehkan agama berperanan dalam memajukan masyarakat, maka negara menjadi salah satu sarana yang sangat penting. Bukankah Islam agama yang sentiasa mengarah kepada disiplin, kejelasan tanggungjawab dan sebaliknya sangat membenci kekacauan dan keserabutan dalam segala perkara.

Satu bukti mudah yang dapat kita lihat adalah ketika Rasulullah s.a.w memerintahkan umat Islam supaya mengemaskan barisan dalam solat. Orang yang paling alimlah yang berhak menjadi imam. Begitu juga baginda pernah bersabda tentang kumpulan yang sama-sama melakukan perjalanan:

“Pilihlah seorang daripada kalian untuk menjadi pemimpin”

Negara Islam berasaskan keyakinan, pemikiran, risalah dan metod tersendiri, bukan sekadar sebagai pihak keselamatan dan pertahanan yang menjaga bangsa daripada perang samada antara suku bangsa ataupun daripada serangan negara lain. Tugas negara adalah lebih besar daripada itu, kerana ia juga berperanan mendidik masyarakat dan mengajarkan tuntutan dan dasar-dasar keislaman, menciptakan persekitaran yang positif, suasana yang kondusif untuk menterjemahkan akidah, pemikiran dan ajaran Islam kealam dunia nyata, menjadi teladan bagi orang-orang yang mendapat hidayah sekaligus sebagai hujah untuk mengalahkan orang-orang yang memilih jalan kehinaan.

Seterusnya negara Islam sebagai negara yang bertunjangkan tauhid ini bersifat universal yang berlandaskan kepada syura, kontrak(baiah), dan pilihan bebas yang dilakukan oleh umat melalui pilihan raya. Dengan kata lain, umat mempunyai hak untuk menilai pelaksanaan kepimpinan dengan cara yang sebaik-baiknya. Ini menunjukkan bahawa konsep ini lebih dekat dengan intipati demokrasi.

Tentang persoalan ahlu zimmah, perlu dilihat, bukankah zimmah bererti janji dan jaminan perlindungan? Jadi kaum minoriti menurut konsep Islam akan mendapat jaminan perlindungan daripada Allah, Rasulullah s.a.w serta kaum muslimin secara keseluruhan. Perjanjian dan perdamaian ini akan menjaga kehormatan mereka, melindungi agama, nyawa, harga diri dan harta kekayaan mereka.Dalam hal ini, dasar yang digunakan adalah ‘hak mereka sama dengan hak kami, kewajipan mereka sama dengan kewajipan kami’.

Di antara provokasi palsu yang sering digembar-gemburkan oleh pemikir-pemikir moden dan golongan sekularis samada aliran kanan ataupun kiri, adalah tuduhan mereka yang mengatakan bahawa pembentukan negara Islam yang berdasarkan syariat Islam adalah bertentangan dengan hak-hak asasi manusia dalam beberapa perkara iaitu kebebasan beragama dan hak-hak wanita. Hak asasi manusia menurut konsep Islam merangkumi hukum yang berkenaan dengan hak-hak peribadi yang bersifat peribadi, pemikiran, politik, undang-undang, sosial dan ekonomi. Juga dijelaskan bahawa Islam memberikan kebebasan kepada semua lapisan masyarakat umum secara serata.

Hak asasi manusia dalam Islam juga merangkumi kemaslahatan lelaki dan wanita, memperhatikan kemaslahatan anak-anak yang merupakan generasi yang memerlukan perhatian dan pendidikan yang baik secara syariat, merangkumi kepentingan Muslim mahupun bukan Muslim samada warganegara mahupun ataupun warga asing, menjamin hak setiap orang samada secara individu, kumpulan ataupun Negara.

Berdasarkan paparan di atas, dapat difahami bahawa hak-hak asasi manusia menurut Islam adalah suatu konsep yang jelas dan sah menurut ajaran islam itu sendiri. Konsep Islam mempunyai keistimewaan jika dibandingkan dengan konsep Barat kerana mempertimbangkan adanya keseimbangan antara hak dan kewajipan.

Islam memberikan legitimasi bagi pelaksanaan jihad untuk membela hak asasi manusia. Islam juga melarang umatnya melemahkan peringkat jihad ini sebagaimana Islam menolak penganiayaan terhadap seseorang. Ditambah lagi bahawasanya hauk untuk melakukan hijrah merupakan salah satu hak yang dijamin bagi setiap manusia agar dapat melindungi akidah serta fikirannya. Islam membolehkan apa saja cara dan sarana yang sah untuk membela kebenaran, merealisasikan keadilan dan melawan angkara murka.

1 comments:

Anonymous said...

Allah telah membekal kan manual kehidupan kpd kita hambanya yakni Al-Quran. Islam merangkumi sekecil2perkara sehingga sebesar2 perkara iaitu dlm mentadbir negara. Pentadbiran Islam perlu diaplikasikan barulah hidup kita lebih bernilai disisiNya.